Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, tidak dapat menahan emosinya di hadapan kira-kira 4,000 orang yang hadir dalam ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Pasir Gudang malam tadi.
Mat Sabu beremosi ekoran tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubar sementara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sehari sebelum Najib membuat pengumuman mengenai pembubaran parlimen.
Mengimbau kembali zaman pemerintahan mantan perdana menteri ketika itu, Mat Sabu berkata, Dr Mahathir pernah membenarkan musuh politiknya menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.
Semangat 46 parti politik serpihan UMNO yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1988 selepas kekalahan Ku Li menentang Dr Mahathir bagi jawatan presiden UMNO.
"Hey Najib...Tun Dr Mahathir Mohamad luluskan parti 46, luluskan parti Keadilan untuk lawan secara demokrasi, ini kamu haramkan parti BERSATU",
"Parti BERSATU parti Melayu, kamu haramkan parti Melayu yang besar, kamu ingat dengan pengharaman itu kamu boleh menang pilihanraya akan datang?", soal Mat Sabu di hadapan hadirin yang memenuhi kawasan padang awam itu.
"Pribumi ni parti melayu. Kamu haramkan parti melayu. Cis!" bentak Mat Sabu ketika berucap pada malam itu.
ROS membuat keputusan pembubaran BERSATU akan kekal jika parti itu gagal mematuhi permintaan ROS dalam masa 30 hari.
Menurut ROS, pembubaran itu ekoran BERSATU gagal serahkan sepenuhnya segala butiran, maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.