Home » News & Politics » 'Mengapa tak cari MH370 di Laut China Selatan?'

'Mengapa tak cari MH370 di Laut China Selatan?'

Written By KiniTV on Wednesday, Oct 25, 2017 | 11:57 PM

 
Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid menuntut kerajaan agar mendedahkan video radar daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menentukan sama ada pesawat Malaysia Airlines MH370 berpusing ataupun menjunam pada lokasi terakhir dilihat. Mohamad Imran berkata beliau tidak yakin dengan teori yang mengatakan pesawat MH370 menuju dan menjunam ke Lautan Hindi ekoran tiada bukti pesawat itu menuju di laluan itu. Jelas Mohamad Imran, beliau yakin kapal terbang MH370 menjunam di Laut China Selatan setelah 3 tahun mencari di persekitaran Lautan Hindi. Mohamad Imran mencadangkan agar kerajaan wujudkan pencarian semula oleh pasukan yang dianggotai warga Malaysia dan tidak memerlukan campur tangan pakar dari luar negara. Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi di Dewan Rakyat hari ini. MH370 hilang dari skrin radar sejurus selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada Mac 2014. Berdasarkan keterangan radar dan satelit, pencarian antarabangsa difokuskan di Lautan Hindi selatan. Beberapa serpihan yang dipercayai dari MH370 terdampar di beberapa pulau-pulau di bahagian barat Lautan Hindi. Bagaimanapun, misi pencarian itu ditamatkan awal tahun ini.