Home » News & Politics » Majlis Perasmian Dataran Transformasi MACA

Majlis Perasmian Dataran Transformasi MACA

Written By SPRM Malaysia on Tuesday, Apr 08, 2014 | 10:22 AM

 
KUALA LUMPUR, 8 April -- Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) hari ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat latihan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi telah menjadi penggerak kepada pembinaan kapasiti modal insan Suruhanjaya ini. Malah, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan MACA hari ini, turut meletakkan MACA sebagai nadi kepada pusat pembelajaran dan kursus untuk pegawai dari dalam dan luar negara. Menurutnya, sejajar dengan transformasi yang sedang berjalan, pembinaan kapasiti tenaga kerja yang cekap, berkemahiran dan mantap amat diperlukan. Ini turut diperlihatkan dalam sistem kenaikan pangkat yang semakin bergerak pantas. 'Kini tempoh lima tahun perkhidmatan membolehkan seseorang pegawai meningkat daripada jawatannya berbanding dahulu yang memerlukan tempoh kira-kira 15 tahun perkihdmatan. "Bagi tujuan ini kita memerlukan pembinaan kapasiti yang cekap dan mantap supaya dapat memenuhi keperluan, kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan. "Ianya amat penting supaya pegawai dapat menjalankan tugas dan tangungjawab sepertimana yang diperlukan," katanya. Pada Majlis yang dihadiri lebih seratus kakitangan dan pelatih Pusat Latihan Asas MACA itu, Abu Kassim turut merasmikan Dataran Transformasi MACA. Beliau juga turut menyatakan bahawa perubahan yang dibuat pada struktur Kursus Asas Pegawai SPRM telah mula dirasai keberkesanannya. Katanya dengan tempoh kursus selama setahun dan tambahan modul yang berkenaan menjadikan ia menghasilkan kematangan yang mencukupi untuk membolehkan pegawai baru menjalankan tugas pada tahap asas. Pengarah MACA, Dato' Abdul Wahab Abdul Aziz turut mengumumkan pemberian gelaran "Bapa Transformasi SPRM" oleh pihak MACA kepada Tan Sri Abu Kassim. Menurutnya gelaran berkenaan sesuai dengan usaha transformasi yang telah digerakkan oleh Ketua Pesuruhjaya itu.